Friday, 22 April 2011

"cinta ada satu kekuatan
yang mampu mengubah duri jadi mawar
mengubah cuka jadi angur
mengubah sedih jadi riang 
mengubah marah jadi ramah
mengubah musibah jadi  muhibbah
itu lah cinta "

Friday, 15 April 2011

Mendedahkan Aib Manusia, Bagaikan Teman Terbaik Kita.


Seringkali umpatan dijadikan modal utama perbualan segenap golongan dari suri rumah hinggalah kepada golongan korporat. Mendedahkan aib orang lain sudah dianggap satu trend pada hari ini ditambah lagi dengan kewujudan program-program hiburan bak cendawan tumbuh memenuhi ruang-ruang media massa. Sememangnya adalah suatu perkara yang memalukan atau perlakuan buruk seseorang individu.
Walau bagaimanapun, perlakuan ini tidak boleh didedahkan dengan tujuan memalukan individu terbabit. Mendedahkan aib seseorang menjadi salah satu perbuatan mazmumah yang menyalahi norma-norma Islam dan masyarakat Melayu khususnya.
Sebagai seorang Muslim, seharusnya kita lebih mengetahui hal ini kerana Allah SWT telah memberi peringatan secara jelas melalui firman-Nya yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kalian banyak dari prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kalian mencari-cari kesalahan orang lain dan sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain. Apakah antara kamu ada yang suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang. (Al-Hujurat : 12)
Realiti
Hakikatnya, majoriti masyarakat Muslim hari ini seakan-akan sudah terpukau dek keindahan dan keseronokan duniawi yang semakin lama memacu mereka kepada kehancuran. Hal-hal 'dalam kain' orang lebih menarik dan hangat diperkatakan berbanding alunan zikir dan fikir. Isu-isu yang membuka pekung mengenai keburukan orang lain atau lebih popular digelar gosip menjadi kegilaan seluruh lapisan masyarakat sehingga ia dianggap perkara biasa.
Kisah-kisah artis dan golongan ternama, penyebaran gambar lucah, video aksi yang kurang menyenangkan kerap menjadi ramuan utama pihak media dalam usaha melariskan produk masing-masing. Masyarakat pula yang disogok dengan berita sebegini setiap hari telah membentuk mentaliti yang terpesong daripada nilai terapan Islam sebenar. Sembang-sembang kedai kopi, bicara ahli masjid dan ahli mesyuarat tingkap telah bertukar topik. Tiada lagi butiran ilmu, bahkan kisah orang-orang sekeliling pula yang dijaja. Tidak perlu nasihat dan teguran untuk si pelaku melainkan umpat keji semata-mata kerana kata mereka, zaman sekarang mana boleh jaga tepi kain orang.
........................................................ Untuk mengikuti kesudahan artikel ini, sila dapatkan tabloid iluvislam Bil 58 : Cinta Dunia dan Cinta Akhirat.

Dengarlah Cerita Isterimu


Kita biasanya balik ke rumah selepas kesibukan kerja di pejabat dengan niat untuk berehat melepaskan penat jerih. Ada juga dikalangan kita yang berniat balik ke rumah sekejap untuk mengambil pakaian sukan dan kemudian terus ke gelanggang permainan bersama-sama dengan rakan-rakan sepejabat atau sepersatuan.

Tidak kurang pula yang sampai di rumah terus mengerjakan solat 'Asar dan kemudian ke halaman rumah meneruskan kerja-kerja menanam pokok bunga kesayangan kita itu.

Apabila sampai ke rumah, hanya anak-anak kita sahaja yang menyambut di pintu. Isteri kita yang "full time house wife" tu ,meneruskan pekerjaan biasanya seperti melipat kain, gosok baju atau menyapu halaman rumah petang-petang.
Kita pun mencium anak-anak dan terus ke bilik tidur dan membuat kerja-kerja seperti di atas tadi. Tidak ada senerio drama tv seperti isteri menyambut dan menyediakan minuman untuk suaminya, sambil suaminya pula merebahkan badannya di sofa empuk "italian set" nya itu.
Bagi isteri yang balik bersama-sama kita satu kereta pula, sepanjang perjalanan dia lelapkan matanya menghala keluar hinggalah sampai ke rumah. Tiba di rumah, masing-masing dengan urusan sendirian, sibuk macam di pejabat tadi. Alangkah ruginya kita menpunyai pasangan yang halal tetapi hubungan kita seperti "bukan muhrim".
Sudahlah kita berpisah lebih lapan jam sehari dengannya kerana bertugas di pejabat, ditambah pula dengan hubungan yang hambar apabila bersama di rumah. Dengan ini, ramailah dikalangan kita yang tidak dapat menikmati cogan kata yang popular masa kini, "Rumahku Syurgaku".
Mengapa boleh terjadi demikian? Mari kita analisis sketsa di atas. Semasa baru-baru kahwin, biasanya isteri kita tu lah yang menyambut kita di pintu dengan senyum manisnya dan memimpin kita ke kerusi atau ke dalam bilik tidur. Dan di situ jugalah dia akan bercerita mengadu hal peristewa-peristewa yang berlaku sepanjang ketiadaan kita di rumah.
Macam-macamlah tajuknya hingga kadang-kadang naik meluat mendengarnya. Tetapi, kita pada masa itu memang pendengar yang amat baik sekali dan bersungguh-sungguh melayan cerita dan emosinya. Baru kahwinlah katakan. Tetapi sekarang semuanya itu hanya tinggal kenangan.
Wahai suami-suami yang dimuliakan,
Memang kita lebih sibuk dari dia. Memang kita lebih banyak memikirkan masalah masyarakat dan negara. Memang minat kita berbeza. Memang kita malas mendengar cakap dia.Tetapi, pernah tak kita fikirkan hasilnya jika kita mendengar sekejap ceritanya bila sampai di rumah setiap petang.
Jika kita boleh meneruskan tabiat seperti baru-baru kahwin dulu tu, menjadi pendengar yang baik, meluangkan masa dalam lima minit mendengar ceritanya sebaik sahaja kita tiba di rumah. Mengangguk-anggukkan kepala dan bersetuju dengan pandangan-pandangannya. Menegur ceritanya apabila dia mula nak mengumpat dengan cara yang baik. Yakinlah, hasilnya nanti, dia akan rasa terhibur dan merasakan dialah orang yang paling gembira sekali pada hari itu.
Cintanya rasa berbalas apabila aduannya itu dilayan dengan belaian kasih mesra. Kusut masai semasa dia memerahkan otaknya membersih, mengindahkan rumah kita dan memasak masakan kegemaran kita, akan terurai kerana kesanggupan kita mendengarnya sembangnya itu.
Tak lama wahai suami-suami, hanya lima minit sahaja yang perlu kita luangkan untuknya, tetapi kesan boleh menceriakannya selama 24 jam untuk hari yang berikutnya.
Niatkan di hati kita untuk mendengar ceritanya sama ada dirumah atau di dalam kereta sebaik sahaja kita melangkah keluar dari pejabat. Jangan amalkan singgah dulu di cafetaria untuk minum petang dengan rakan-rakan sepejabat, ini akan menyebabkan kita merasakan isteri tidak perlu lagi melayan kita di rumah nanti.
Sebab kita sudah kenyang. Sampai di rumah mulakan dengan soalan, "Ada berita baik hari ini ke?" atau yang serupa dengannya. Yakinlah, sebulan kita amalkan, pasti isteri kita akan bersama-sama dengan anak-anak kita menyambut di muka pintu dengan senyuman meleret hingga ke telinganya. Kita juga yang akan terhibur.
Amalkanlah

Biodata Kolumnis


Ustaz Fathi Yusuf merupakan graduan ijazah Undang-Undang Syariah UIAM dan master Undang-Undang UKM manakala isterinya, Ustazah Ros Izanuri Jamaluddin merupakan graduan Bahasa Arab UIAM. Ustaz Fathi sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PhD di UIAM manakala Ustazah Ros Izanuri mengajar di SMK Taman Melawati, Kuala Lumpur.



-Artikel iluvislam.com

Thursday, 14 April 2011

Pengguguran Bayi dan Seks Bebas Menjadi Trend


Isu ini dikupas berlandaskan dua agama, iaitu Islam dan Hindu. Ustaz Mohd Khairul Nizam (pensyarah di Akademi Pengajian Islam, UM) mewakili Agama Islam dan Cikgu Ragunathan Parasubramaniam Guru dijemput untuk mewakili Agama Hindu.
Isu pertama yang dibangkitkan adalah statistik kelahiran bayi luar nikah berdasarkan tahun dan agama. Tidak mengejutkan apabila moderator memaklumkan saban tahun bilangannya sentiasa meningkat.
Ustaz Khairul Nizam membentangkan hujah-hujahnya berkaitan pengguguran bayi menurut perspektif Islam. Beliau menekankan petikan ayat al-Quran dalam surah Al-An'am (ayat : 151) dan surah Al-Israk (ayat 31-32) berkaitan larangan pembunuhan anak kerana takutkan kefakiran.
Melalui ayat ini, Ustaz Khairul Nizam menerangkan bahawa pembunuhan dan pengguguran bayi telah berlaku sejak dahulu lagi, buktinya sudah termaktub di dalam al-Qur'an. Ia bukanlah suatu gejala baru yang berlaku pada zaman millennium ini, malah pembunuhan anak telah berlaku sejak zaman jahiliah lagi disebabkan kekolotan dan kekurangan ilmu pada waktu itu.
Mereka sewenang-wenangnya menanam anak mereka hidup-hidup sekiranya anak mereka berjantina perempuan. Tidak jauh beza dengan zaman sekarang, yang berbeza hanyalah caranya sahaja.
Pada zaman sekarang bayi yang tidak berdosa dibuang di dalam tong sampah, dicampak dari kereta, dibakar, dihanyutkan ke sungai dan macam-macam cara lagi. Malah masyarakat kini jauh lebih buruk perangainya jika dibandingkan dengan masyarakat jahiliyyah dahulu yang tidak berilmu.
Seterusnya, ulasan daripada Cikgu Ragu menurut perspektif agama Hindu. Cikgu Ragu menekankan ketiadaan perasaan malu merupakan faktor utama penyebab kepada berleluasanya gejala negatif ini.
Menurut Cikgu Ragu, Agama Hindu juga seperti Agama Islam iaitu turut menekankan soal kebaikan yang dikenali sebagai Dharma (berbuat baik). Beliau menerangkan terdapat lima konsep utama dalam hidup:
1. Atman (Roh)
2. Brahman (Tuhan)
3. Karma (Perbuatan-pahala, dosa)
4. Samsara (Kelahiran Semula)
5. Moksha (Kembali kepada Tuhan)/ Mati
Beliau juga sekeras-kerasnya menekankan bahawa pengguguran bayi adalah sangat dilarang dalam Agama Hindu kerana dosanya seperti membunuh sami atau membunuh ibu bapa sendiri. Selain itu, beliau menerangkan tentang empat peringkat kehidupan dalam Agama Hindu:
1. Brahmacharya (zaman bujang) - masa untuk persiapan ke alam dewasa, belajar berdikari
2. Grahasta (dewasa) - masa untuk persiapan ke arah alam rumah tangga, mengumpul harta, bertujuan baik untuk mempunyai anak)
3. Vanaprasta - masa untuk bersedia ke arah kehidupan selepas mati
4. Mati - kembali kepada tuhan.
Beliau berkata, kebanyakan remaja masa kini tidak sabar untuk menempuh alam dewasa. Kebanyakan daripada mereka tidak sabar untuk memasuki peringkat Grahasta tanpa persediaan yang sewajarnya dan menyebabkan mereka kekurangan ilmu dan pengalaman untuk memikul tanggungjawab tersebut.
Seterusnya, Ustaz Khairul Nizam membincangkan tentang cara-cara yang dapat membendung gejala pengguguran bayi dan seks bebas ini.
Salah satunya adalah memudahkan perkahwinan.
Perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Perkahwinan adalah satu ikatan suci yang sangat digalakkan dalam Islam. Namun, zaman sekarang adat lebih dititik beratkan daripada agama.
Urusan perkahwinan di Malaysia khususnya 'disusahkan' kerana terikat dengan adat. Majlis dilakukan secara besar-besaran walaupun sumber ekonomi tidak mengizinkan. Kebanyakan daripada pasangan "terpaksa" mendapatkan duit beribu-ribu sehingga sanggup berhutang semata-mata kerana untuk menunaikan tuntutan "adat" dan mengabaikan tuntutan agama.
Mereka mereka yang ingin berkahwin dihantui dan dibelenggu dengan masalah kewangan. Ada juga yang ditegah untuk berkahwin disebabkan masih bergelar pelajar, masih muda dan sebagainya. Jadi tidak hairanlah, gejala negatif ini berleluasa tanpa dapat dibendung.
Salah satu kaedah untuk membendung gejala ini adalah dengan memudahkan prosedur sesebuah perkahwinan. Jika sesuatu pernikahan dijalankan mengikut syariat Allah, sudah pasti kecerewetan tidak akan berlaku lebih-lebih lagi dalam urusan hantaran, kenduri, persandingan dan sebagainya.
Andai semua urusan berlandaskan syariat, InsyaAllah dapat membantu dengan adanya "BARAKAH" dalam hubungan tersebut.
Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda, "Jadikan (adakan) pernikahan sekalipun dengan hanya menyembelih seekor kambing".
Selain itu, masyarakat sekarang lebih suka meng'YES'kan yang negatif, contohnya ibu bapa membenarkan anak bercinta. Trend sekarang katanya. Mereka lebih mudah mengikut tatacara hidup jahiliah yang lebih "bebas" dan lebih "mengikut peredaran zaman".
Tambah Cikgu Ragu, sekarang ini semua orang kurang penghayatan dan hormat terhadap agama. Lebih suka menunding jari. Jadi, masing-masing perlu ubah diri sendiri dulu, ubah nasib keluarga, baru boleh fikir untuk memiliki keluarga sendiri.
Jadi, apa yang dapat disimpulkan di sini, pokok pangkalnya kita perlulah kembali kepada agama, seek for His guidance. Ini bukan masa untuk kita buat dosa lagi. Islah itu atas diri sendiri. Seimbangkan rohani dan jasmani. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan, insyaAllah. Saya sekadar berkongsi apa yang saya dapat daripada talk itu. Semoga sama sama dapat manfaat.
InsyaAllah.

Wednesday, 13 April 2011

cinta dunia cinta akhirat



Setiap manusia mempunyai perasaan cinta dan menyintai. Cinta itu juga mempunyai tafsiran yang luas dan berbeza-beza. Rasa cinta dan sayang itu bukanlah hanya terbatas kepada lelaki dan wanita sahaja. Cinta itu sangat universal dan boleh dizahirkan dalam apa jua bentuk dan apa jua keadaan. Rasa cinta itu boleh diterjemahkan kepada rasa cinta terhadap kerjaya atau kerja, harta, ilmu dan sebagainya.
Namun dalam dunia serba moden ini, apabila menyentuh mengenai cinta ia akan ditujukan kepada sama ada cinta antara lelaki dan wanita ataupun cinta manusia kepada kebendaan iaitu harta dan kemewahan. Pemikiran jumud begini boleh menjadikan manusia hamba duit tanpa memikirkan mengenai akhirat.
Namun begitu masih ada yang bijak menguasai dunia dan mengharapkan kebaikan di akhirat. Mereka ini adalah golongan yang beruntung kerana diberikan ni'mat untuk merasai kedua-duanya. Dan seharusnya mereka memperolehi keberkatan ini hanyalah kerana pencarian mereka yang seimbang antara dunia dan akhirat tanpa lalai walaupun dalam seminit.
Sesungguhnya mereka seperti ini telah disebutkan oleh Allah SWT yang bermaksud, "Dan bersabarlah kamu bersama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi hari dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batasnya ." (Surah al-Khafi : 28)
Sebagai seorang Muslim yang akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak perlu mempersiapkan diri untuk mendapat kecintaan yang hakiki di akhirat nanti. Memang benar, kehidupan di dunia juga perlu dititikberatkan bagi membawa satu imej yang hebat di mata-mata musuh Islam. Namun begitu, segala kekayaan dan kemewahan itu pula, hendaklah jangan kedekut untuk dibelanjakan bagi mencapai kesenangan di akhirat.
Itulah yang dinamakan keseimbangan antara kehendak dunia dan keperluan akhirat. Namun, ramai yang pada hari ini apabila sudah menemui kejayaan di dunia akan melupakan kehidupan selepas kematian nanti. Ketika itulah segala amalan di dunia akan diambil kira. Segenap 'sen' harta akan dihisap sama ada digunakan ke jalan Allah ataupun segala kemewahan itulah yang melalaikan hamba-Nya ini.
Penuhi amal dan iman
Satu jalan mudah untuk menjauhi sifat kedekut yang menandakan itulah perasaan terlalu cintakan dunia ialah penuhi dengan amal dan iman. Dua perkara ini mampu membersihkan jiwa dan hati daripada menjadi keras daripada hanya memikirkan dunia semata-mata.
Pernah berkata, Al-imam Sufyan al-Tsauri r.h.m. "Telah sampai kepadaku bahawasanya akan datang satu masa kepada umat manusia di mana pada masa itu semua hati-hati manusia dipenuhi oleh kecintaan terhadap dunia, sehingga hati-hati tersebut tidak dapat dimasuki rasa takut terhadap Allah SWT.Dan itu dapat engkau ketahui apabila engkau telah memenuhi sebuah bakul kulit dengan sesuatu hingga penuh kemudian engkau cuba memasukkan barang lain ke dalamnya namun engkau tidak mendapati ruang untuknya lagi,".
........................................................ Untuk mengikuti kesudahan artikel ini, sila dapatkan tabloid iluvislam Bil 57 : Cinta Dunia dan Cinta Akhirat.